Sabtu, 2 Februari 2013

Terperangkap di Mines Downtown

Hari ni, 2.2.13 merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki ke Mines Downtown (MDT). Selama ini hanya dengar cerita orang saja tentang tempat ini. Kononnya macam-macam ada, murah murah membuatkan hati sangat teruja untuk ke sana. Apatah lagi ada bazar buku yang berlangsung selama 10 hari. Nak juga menjenguk, bagaimana keadaannya, sambutannya. Lagilah pulak malam minggu, pastinya lebih meriah.

Akhirnya bertemankan anak-anak, aku pun berangkatlah ke sana selepas solat maghrib. Dikhabarkan, MDT dibuka dari 8.30 malam. Perut juga sudah berkeroncong minta diisi, apa lagi minda mula memusatkan untuk cari makan dulu!

Alhamdulillah, kami sampai hampir 9 malam dan parking pun masih banyak, dekat dengan pintu masuk (banyak entrance sebenarnya!) tetapi terpaksa menyeberangi jambatan bosi. Anak-anak sudah teruja, nak beli beg, nak beli mainan, nak beli itu ini. Makan dulu! Aku kata dan mereka akur. Pusing punya pusing, kami singgah di gerai char kuey tiaw (camane ejaan yg betul sebenarnya?) dan aku memesan nasi kukus ayam dara ... cewah!

Lepas makan, kami pusing2 ... menjamu mata. MDT ni pasar malam skala besar yg ala2 chatuchak market kat Bangkok. Tapi chatuchak tu berkali2 gandalah lagi besarnya. Teringat juga macam Wakaf Che Yeh di Kota Bharu. Juga lagi besar dari yg ini. Jika dibandingkan antara gerai dengan pengunjung malam ni, taklah ramai sangat. Tapi dikatakan lebih ramai menjelang awal pagi (Orang KL tak reti tidur ...) Cuma yang aku nampak, peniaga ramai Melayu, dan pengunjung pun 95% Melayu. Kurang nampak bangsa lain, pelancong asing jauh sekali!

Kakak dan adik nak beli beg. Si  puteri bongsu pulak ralit tengok haiwan ~ kakaktua, ular, rakun dan macam2 reptilia yg dipamerkan. Hati terpegun melihat kecomelan dan kemanjaan rakun dalam sangkar bermain dengan tuannya. So cute! Lama juga kat situ melayan Puteri. Kakak dan adik menjenguk ke gerai buku ~ PTS, Karangkraf, Pelangi ... Aku sebenarnya mengintai-intai novel sendiri, tapi tak nampak pulak (malu!). Tapi nak dikatakan jualan murah, tak juga. Novel Karangkraf yg dijadikan siri TV kurang harga seringgit saja. Tak sampai 10% diskaunnya.

Lepas belikan kakak dan adik beg masing-masing, Puteri mahukan topeng hantu.  Pesan aku, jangan pakai sekarang, nanti orang terkejut. Kemudian, untuk diri sendiri aku beralih ke tempat urut kaki. Diurut selama 30 minit dengan bayaran RM20. OKlah juga ... Entah macam mana Puteri tidak sabar-sabar mengenakan topeng hantunya, maka terkejutlah seorang pelanggan di situ. Nasib baik tak apa-apa ... 

Jam 11.30 malam kami bergerak ke parking kereta. Dan di sinilah cerita sebenarnya bermula ...

Kereta kami yang diparking cantik dalam petak telah diblock orang! Di kiri, bahu jalan yang disempadani longkang; kanan ada kereta wira, depan kereta viva parking menyerong. Aku mengintai-ngintai viva putih itu, kot kot tuannya ada meninggalkan nombor telefon. Biasanya bila kita block kereta orang, eloklah tinggalkan nombor telefon supaya tak menyusahkan orang bila dia nak keluar. Tapi, yang ini tak tinggalkan nombor telefon pun! Dah tu dipasang steering lock pulak! Hand brake ditarik. Aku tak boleh buat apa-apa. Menunggu dengan sabar ajelah. Si Puteri sudah tertidur. (Bohonglah kalau aku katakan yg aku tak marah ... Geram sesangat!)


Selepas 40 minit menunggu, aku sudah hilang sabar. Akhirnya aku mendail 103.
          "Tolong beri no telefon balai polis yang dekat-dekat Mines Resort."
          "Tiada balai polis Mines Resort dalam senarai, cik ..."
          "Kalau gitu, bagi no balai yang berhampiran .."
          "Saya bagi no balai polis bandar Sunway, boleh?"
          (Amboi! Jauhnya nak bagi nombor sampai ke Sunway pulak!)
          "Bagi saya nombor balai polis Seri Kembangan ajelah,"
           (aku pun buntu, balai polis mana yang dekat area sini?)
          Dail nombor yang diberi ...
          Busy
          Busy
          Busy
 Akhirnya panggilan bersambut. Aku menceritakan masalahku, manalah tahu polis tu boleh bagi idea.
          "Oh, kalau kat Mines, cik telefon balai polis Serdang."
          Dail balai polis Serdang pulak ..
          "Macam ni cik, cik pergi tempat orang karaoke, minta diorang buat annoucement. Diorang biasa buat macam tu."
          Dalam hati terfikir, kerja block memblock kereta orang ni dah fenomena biasa kat MDT rupanya. Aku je yang tak tau, sebab baru sekali datang sini. Tapi sebelum call polis tadi, terlintas juga, agaknya pasti ada tempat nak buat annoucement. Cuma aku tak tau pulak tempat announcement tu di bahagian karaoke (tak nampak pun tempatnya kat mana ..)
         Puteri sudah lena. Kakak dan adik masih berjaga, sama-sama tolong fikir apa nak buat. 
         "Kakak berani tak, pergi cari tempat karaoke dan minta diorang buat announcement. Bagi nombor kereta viva ni ..." 
         "Ala, kakak takut sesat .."
         Jawapannya aku boleh terima. Aku pun sebenarnya bimbang juga kalau dia tersesat walaupun pergi sekali dengan adik. Nanti bala lain pulak yang datang. Akhirnya aku putuskan untuk pergi semua sekali. Aku terpaksa dukung Puteri yang sudah besar itu. Kalau  dikejutkan, pasti dia mengamuk. Kecoh pulak .. Sebelum masuk balik ke MDT aku tinggalkan nota untuk pemilik viva berbunyi begini:
         "Kalau nak keluar, tunggu dulu owner Wish ni datang. Dah sejam kami tunggu, kenapa tak tinggal nombor telefon?"
         Harapan aku supaya bila dia nak keluar, kami dapat keluar dulu sebelum kereta lain masuk kerana aku tahu, pastinya akan ada kereta lain yang perlukan parking itu.
         Selepas itu aku mendukung Puteri seberat 25kg (agaknya, sebab dia kurus je tapi tinggi orangnya) dan diekori kakak dan adik di belakang, mencari tempat karaoke. Aku terpaksa bertanya pada orang supaya pencarian dapat dicepatkan. Tak tahan jugak mendukung Puteri ni ... Berpeluh-peluh dibuatnya.
         Selepas announcement dibuat, aku bergegas ke tempat parking, bimbang pemilik viva sampai dulu sebelum kami. Terpaksalah aku melintasi jambatan bosi sekali lagi dengan rasa cuak kerana jambatan tu bukanlah nampak macam selamat sangat. Sudahlah sambil mendukung baby besar ni ...
         Malangnya nasib kami ... sampai di kereta, viva sudah tiada dan kereta lain pula dah ambil parking tu. Block kami lagi. Kecewa sungguh rasanya, usaha tadi sia-sia saja. Kami mengintai lagi, tak ada nombor telefon pun yang ditinggalkan. 
         "Mak, ada sticker Polis Diraja Malaysia," kata Kakak.
         Peduli apa dengan sticker tu ... polis pun manusia, buat salah juga.
         Akhirnya aku mengintai kereta di sebelah kanan, yang dari mulanya aku rasa payah juga aku nak keluar kalau kereta ni dah tak ada pun. Ada nombor telefon dan nama tuannya sekali. Alhamdulillah, aku terus menelefon pemilik wira itu. Tidak lama menunggu, mereka sudah sampai. Mereka terus memandu keluar.
         Undur, ke depan, undur, ke depan, undur, ke depan ... akhirnya aku berjaya keluar. Untunglah ada reverse camera.
         Dalam perjalanan pulang kami berbincang, kenapa pemilik viva itu tidak tunggu kami dulu. Bukannya kami nak marah mereka, tetapi cuma nak pastikan ketika keluar tak ada kereta lain yang masuk dulu seperti yang berlaku tadi. 
         Kami sampai ke rumah pukul 1 pagi ... 
         Moral of the story, kalau rasa terpaksa block kereta orang, tinggal-tinggalkanlah nombor telefon supaya tindakan kita tu tak menyusahkan orang lain pulak. Kalau kita rasa kita nak senang, orang lain pun nak senang juga. Jangan menyusahkan orang kerana nak menyenangkan diri sendiri. Apa-apa pun, hati aku dah sejuk sekarang. Aku dah maafkan si pemilik viva yang aku masih simpan nombor plat keretanya dan juga pemilik Gen-2 biru muda (kalau tak silap).
        Lepas ni ... hati aku dah berat nak ke MDT lagi .. Cukuplah sekali!
    
    







TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Light Purple Glitter Pointer