Ahad, 12 Mei 2013

KL, aku pulang ..

Jadual hari pertama dan kedua terasa begitu padat. Hari ketiga kami bersantai2 di hotel dan check out. Puteri kecil sempat mandi kolam.
Pemandangan kolam renang dari tingkat 3

Lepas check out kami menuju ke Ubud. Ubud adalah pusat artistik Bali. On the way sempat singgah di beberapa tempat seperti berikut:


Industri kampung: kopi luwak berharga Rp50 ribu secawan.

Industri batik. 

Industri lukisan. Beli sekeping lukisan di sini. Pasir pantai dalam lukisan betul2 menggunakan pasir sebenar. 
 Sempat juga melalui industri perabot, industri barangan perak (terbeli sebentuk cincin perak!) dan kilang barangan Polo Ralph Lauren. Tapi tak membeli pun di sini kerana terlalu mahal harganya walaupun dikatakan harga kilang. Semua pakaian dijual dalam USD.
Panorama dalam perjalanan ke Ubud

View dari Batur Sari

Banyak attraction sepanjang jalan ke Ubud. Kami tiba di banglo sewa hampir 5 petang. Letaknya tak jauh dari bandar Ubud. Tengoklah gaya banglo mewah kami di tengah sawah. Siap dengan kolam private lagi. Apa lagi, kami pun tak melepaskan peluang untuk mandi-manda sekeluarga.
Ini salah satu bilik. Khas untuk anak teruna kami. 

Kolam renang di tingkat bawah.
Best kan? Sesekali berbelanja untuk keluarga. Besoknya kami check out dan singgah di Monkey Forest. Wah, monyet kat sini walaupun nampak jinak tapi sangat agresif. Nama pun monyet .. Ada sekor tu, siap tarik seluar minah saleh lagi ..
Seronok tengok monyet ni beria2 nak buka botol air mineral. 

Terserempak pulak dengan penggambaran sinetron .. Tapi tak kenal pulak siapa pelakonnya.

Lebih kurang jam 12 tgh kami meninggalkan tempat ini dan balik ke Kuta untuk membelai diri di spa. Anak-anak dibawa pak supir untuk makan di KFC. Habis spa, sempat singgah di factory outlet Bali Brasco. Pakaian branded agak murah. Cuma pekerjanya macam malas nak melayan. Tak taulah kot mereka pilih bulu ..nak melayan yang ada USD dan Pound Sterling je .. Sejam di sini, kami pun berangkat ke airport. Jalan jem pulak tu. Katanya ada Menteri datang ramai2.



TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Bali, aku datang..

Sepanjang hayat, trip ke Bali membawa satu kelainan. Pertama, ini pengalaman pertama bercuti satu keluarga di Indonesia. Sebelum ini pernah ke Haadyai, Thailand menaiki bas rombongan anak .
beranak. Lepas itu, ke Singapura menaiki kereta sampai ke Johor, dan kemudian naik bas masuk terus ke Universal Studio. Ke Bali pula, tiada pilihan kecuali menaiki kapal terbang. Mujurlah ada AirAsia, dapat juga bercuti ke luar negara satu family. Asalnya hendak ke Kota Kinabalu sahaja, tetapi bila digodek-godek, tambang ke KK dan ke Bali sama saja. Baiklah ke Bali, dapat tengok negeri orang.

Mungkin trip yang aku rancang ini boleh menjadi panduan pada orang lain yang mahu membawa keluarga bercuti ke Bali. Memandangkan tiket paling murah adalah malam Selasa, jadi aku terpaksa ambil sebelah malam dan balik ke KL pada malam Sabtu. Bermakna 4 malam 4 hari. Cukup untuk explore Bali mengikut kesesuaian percutian keluarga. Kami tiba di Airport Ngurah Rai Bali lebih kurang pukul 11 malam. Perjalanan dari KL selama 3 jam. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Jika berjalan dalam satu family, eloklah booking tempat duduk sekali. Senang nak tengok kebajikan anak-anak. Begitu juga, terus beli makanan dan bagasi. Harganya lebih murah jika dibooking secara online. Sebagai tip, jika anda menggunakan beg bersaiz 24 maka berat biasanya ialah dalam 15 kg. Beg bersaiz 24 cukup untuk mengisi pakaian 2 orang dewasa untuk 4 hari 4 malam. Cuba minimumkan pakaian sebaik mungkin.

Sebaik sampai, supir kami sudah menunggu di airport. Kami tidak book bilik hotel malam itu. Ada sebabnya. Supir sudah ditempah dari Malaysia lagi. Kami berhubungan melalui BBM. Beliau menyediakan itinerari dan sebut harga untuk transport. Hotel kami book melalui asiaroom dan latestay. Berkali ganda murahnya. Kami sepatutnya bertolak dari Kuta ke Lovina beach jam 3 pagi. Sementara itu kami dibawa ambil angin dan beli makanan di pantai Kuta. Sebabnya, di pantai Lovina susah hendak cari kedai makan (mungkin kalau ada pun yang tak halal). Dikhabarkan 90% penduduk Bali adalah Hindu. Hindu mereka tidak sama dengan Hindu di Malaysia. Kuil juga berbeza. Jika di Malaysia, kuil Hindu dipenuhi patung2 pada bumbungnya tetapi tidak di sini.
Melihat matahari naik


Lebih kurang jam 2.30 pagi kami bertolak ke pantai Lovina dalam jarak 90 km dari Kuta. Kami sampai jam 6 pagi. Tidur dalam Suzuki AFV sahaja, tidaklah begitu lena. Buat apa di sana? Kami menaiki bot (agak pelik bentuknya) untuk ke tengah laut. Satu bot cukup untuk kami sekeluarga berenam dan pemandunya. Sampai di satu kawasan, banyak bot berhenti di tengah lautan untuk melihat dolphin. Suatu pengalaman indah yang tidak diperoleh di sini. Tetapi bersedialah dengan bayaran Rp150 ribu setiap orang (lebih kurang RM50). Bot saling mengejar untuk menangkap momen bersama dolphin yang melompat dalam satu kumpulan. Walaupun mengantuk, namun terpaksa bersekang mata untuk menimba pengalaman baru. Jam 9 kami teruskan perjalanan kembali ke Kuta.
Bot dan lihat, Dolphin berenang!!
Perjalanan ke Kuta melalui Gitgit Waterfall. Kami singgah di situ untuk melihat air terjun. Di Bali ketika itu meraikan Hari Raya Kuningan dan Galungan. Dua perayaan terbesar masyarakat Hindu di Bali. Orang Bali sangat alim pada pandangan mata aku. Mereka berduyun-duyun berarak ke kuil membawa junjungan. Di merata tempat, 'persembahan' diletakkan hatta di kaki lima sekali pun. Kalau tersepak "ngak apa-apa".

Gitgit Waterfall yang mudah digapai. Airnya sejuk dan segar.
Semasa di Tanah Lot Temple, lebih ramai orang yang berpusu-pusu ke sini. Menariknya, kecik besar semuanya berpakaian kebaya. Aku sempat mengambil gambar satu keluarga Hindu di sini.

Selepas melawat Tanah Lot Temple dan Taman Ayun Temple, kami check in di hotel. Bagi aku temple2 ni sama saja, cuma kita lihat panoramanya yang cantik dan kesan tinggalan sejarah. Dua temple ini memang perlu dilawati jika ke Bali. Yang lain2 tu sama saja.

Taman Ayun Temple
Tanah Lot Temple

Selepas makan tengahari, kami pulang berehat ke hotel. Wah bestnya ... selepas satu malam satu hari kembara, berehatlah yang paling mendapat kepuasan. Lagipun cuaca di Bali sangat panas ketika itu.
Aktiviti malam diteruskan dengan makan di Pizza Hut dan berjalan-jalan di bandar Kuta. Antara tempat dituju ialah Hard Rock Cafe. Menu di Pizza Hut sangat berlainan dengan di sini. Jadi kalau ke Bali, mesti cuba!

Hari berikutnya memang pengalaman menarik. Selepas breakfast, kami menonton Barong Dance. Satu kemestian di Bali, tetapi persembahannya agak membosankan dan penceritaan tidak kemas. Nasib baik ada sinopsis diberikan sebelum menonton. Tiket masuk pun mahal, Rp100 ribu seorang. Kalau rasa tak nak tengok pun tak apa. Tak menyesal rasanya.

Salah satu scene dalam Barong Dance. Watak paling jahat, si gadis cantik tu.
Selepas menonton Barong Dance, kami menuju ke Taman Sari, Nusa Dua. Kat sini yang best sebab mencuba pelbagai water sport yang tak ada kat negara kita (katanya ..). Agak mahal, 3 aktiviti + gambar dalam laut untuk kami berenam berjumlah RM2,100. Fullamak, mahal giler!! Tapi nak merasa, terpaksa ditenyeh kad kredit.
Flying fish


Betul ke flying fish ni tak ada kat Malaysia?
Mak aii ... gayatnya!

Dua orang anak remaja dah terbang ke udara. Tinggal kami berempat melayari bot donut ... 



Nampak je naik bot donut ni macam tak takut pun ... Hmm, kalau berani cubalah!!








Pastu kami pergi Turtle Island dan naik glass bottom boat nengok ikan dan rumpai laut la pulak..



Haa ... nampak tak diorang dah bersedia dengan pakaian tu? Nilah aktiviti paling best kat sini.

Alhamdulillah, cita-cita nak menyelam termakbul di sini. 
Lepas makan tengah hari, kami proceed ke Uluvatu Temple. Wow, pemandangan kat sini memang klasss .. Subhanallah.

Pastu kami gi tengok Kecak Dance. Yang ni memang aku recommend coz persembahannya menarik dan menghiburkan. Ada kelainan sebab muzik latarnya suara orang sahaja yang melaungkan "kecak, kecak, kecak .." dari mula persembahan sampai habis (dalam sejam, dari petang sampai senja sampailah ke malam).
Penonton penuh sesak .. sampai makan ruang persembahan.
Tiket masuk Rp70 ribu kalau tak silap.
Lepas tu kami proceed ke Jimbaran. Kat sini cuma nak enjoy makanan laut betul-betul di tepi pantai.
Cam gini punya dish Rp1.6 juta!!
Rasanya tak perlu makan kat sini kalau tak ada bajet. Coz bukanlah satu keralatan kalau tak menikmati seafood di sini. Lepas makan kat sini, kami dibawa melawat kawasan Legian. Kat situ tempat happening coz ada club dsb. Tempat kena bom di Bali pun kat situ, ada dibina memorial untuk mereka yang terkorban. Lepas tu .... balik Zzzzz ...

HARI KE-3 DAN KE-4 NEXT UPDATE...





TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Sabtu, 2 Februari 2013

Terperangkap di Mines Downtown

Hari ni, 2.2.13 merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki ke Mines Downtown (MDT). Selama ini hanya dengar cerita orang saja tentang tempat ini. Kononnya macam-macam ada, murah murah membuatkan hati sangat teruja untuk ke sana. Apatah lagi ada bazar buku yang berlangsung selama 10 hari. Nak juga menjenguk, bagaimana keadaannya, sambutannya. Lagilah pulak malam minggu, pastinya lebih meriah.

Akhirnya bertemankan anak-anak, aku pun berangkatlah ke sana selepas solat maghrib. Dikhabarkan, MDT dibuka dari 8.30 malam. Perut juga sudah berkeroncong minta diisi, apa lagi minda mula memusatkan untuk cari makan dulu!

Alhamdulillah, kami sampai hampir 9 malam dan parking pun masih banyak, dekat dengan pintu masuk (banyak entrance sebenarnya!) tetapi terpaksa menyeberangi jambatan bosi. Anak-anak sudah teruja, nak beli beg, nak beli mainan, nak beli itu ini. Makan dulu! Aku kata dan mereka akur. Pusing punya pusing, kami singgah di gerai char kuey tiaw (camane ejaan yg betul sebenarnya?) dan aku memesan nasi kukus ayam dara ... cewah!

Lepas makan, kami pusing2 ... menjamu mata. MDT ni pasar malam skala besar yg ala2 chatuchak market kat Bangkok. Tapi chatuchak tu berkali2 gandalah lagi besarnya. Teringat juga macam Wakaf Che Yeh di Kota Bharu. Juga lagi besar dari yg ini. Jika dibandingkan antara gerai dengan pengunjung malam ni, taklah ramai sangat. Tapi dikatakan lebih ramai menjelang awal pagi (Orang KL tak reti tidur ...) Cuma yang aku nampak, peniaga ramai Melayu, dan pengunjung pun 95% Melayu. Kurang nampak bangsa lain, pelancong asing jauh sekali!

Kakak dan adik nak beli beg. Si  puteri bongsu pulak ralit tengok haiwan ~ kakaktua, ular, rakun dan macam2 reptilia yg dipamerkan. Hati terpegun melihat kecomelan dan kemanjaan rakun dalam sangkar bermain dengan tuannya. So cute! Lama juga kat situ melayan Puteri. Kakak dan adik menjenguk ke gerai buku ~ PTS, Karangkraf, Pelangi ... Aku sebenarnya mengintai-intai novel sendiri, tapi tak nampak pulak (malu!). Tapi nak dikatakan jualan murah, tak juga. Novel Karangkraf yg dijadikan siri TV kurang harga seringgit saja. Tak sampai 10% diskaunnya.

Lepas belikan kakak dan adik beg masing-masing, Puteri mahukan topeng hantu.  Pesan aku, jangan pakai sekarang, nanti orang terkejut. Kemudian, untuk diri sendiri aku beralih ke tempat urut kaki. Diurut selama 30 minit dengan bayaran RM20. OKlah juga ... Entah macam mana Puteri tidak sabar-sabar mengenakan topeng hantunya, maka terkejutlah seorang pelanggan di situ. Nasib baik tak apa-apa ... 

Jam 11.30 malam kami bergerak ke parking kereta. Dan di sinilah cerita sebenarnya bermula ...

Kereta kami yang diparking cantik dalam petak telah diblock orang! Di kiri, bahu jalan yang disempadani longkang; kanan ada kereta wira, depan kereta viva parking menyerong. Aku mengintai-ngintai viva putih itu, kot kot tuannya ada meninggalkan nombor telefon. Biasanya bila kita block kereta orang, eloklah tinggalkan nombor telefon supaya tak menyusahkan orang bila dia nak keluar. Tapi, yang ini tak tinggalkan nombor telefon pun! Dah tu dipasang steering lock pulak! Hand brake ditarik. Aku tak boleh buat apa-apa. Menunggu dengan sabar ajelah. Si Puteri sudah tertidur. (Bohonglah kalau aku katakan yg aku tak marah ... Geram sesangat!)


Selepas 40 minit menunggu, aku sudah hilang sabar. Akhirnya aku mendail 103.
          "Tolong beri no telefon balai polis yang dekat-dekat Mines Resort."
          "Tiada balai polis Mines Resort dalam senarai, cik ..."
          "Kalau gitu, bagi no balai yang berhampiran .."
          "Saya bagi no balai polis bandar Sunway, boleh?"
          (Amboi! Jauhnya nak bagi nombor sampai ke Sunway pulak!)
          "Bagi saya nombor balai polis Seri Kembangan ajelah,"
           (aku pun buntu, balai polis mana yang dekat area sini?)
          Dail nombor yang diberi ...
          Busy
          Busy
          Busy
 Akhirnya panggilan bersambut. Aku menceritakan masalahku, manalah tahu polis tu boleh bagi idea.
          "Oh, kalau kat Mines, cik telefon balai polis Serdang."
          Dail balai polis Serdang pulak ..
          "Macam ni cik, cik pergi tempat orang karaoke, minta diorang buat annoucement. Diorang biasa buat macam tu."
          Dalam hati terfikir, kerja block memblock kereta orang ni dah fenomena biasa kat MDT rupanya. Aku je yang tak tau, sebab baru sekali datang sini. Tapi sebelum call polis tadi, terlintas juga, agaknya pasti ada tempat nak buat annoucement. Cuma aku tak tau pulak tempat announcement tu di bahagian karaoke (tak nampak pun tempatnya kat mana ..)
         Puteri sudah lena. Kakak dan adik masih berjaga, sama-sama tolong fikir apa nak buat. 
         "Kakak berani tak, pergi cari tempat karaoke dan minta diorang buat announcement. Bagi nombor kereta viva ni ..." 
         "Ala, kakak takut sesat .."
         Jawapannya aku boleh terima. Aku pun sebenarnya bimbang juga kalau dia tersesat walaupun pergi sekali dengan adik. Nanti bala lain pulak yang datang. Akhirnya aku putuskan untuk pergi semua sekali. Aku terpaksa dukung Puteri yang sudah besar itu. Kalau  dikejutkan, pasti dia mengamuk. Kecoh pulak .. Sebelum masuk balik ke MDT aku tinggalkan nota untuk pemilik viva berbunyi begini:
         "Kalau nak keluar, tunggu dulu owner Wish ni datang. Dah sejam kami tunggu, kenapa tak tinggal nombor telefon?"
         Harapan aku supaya bila dia nak keluar, kami dapat keluar dulu sebelum kereta lain masuk kerana aku tahu, pastinya akan ada kereta lain yang perlukan parking itu.
         Selepas itu aku mendukung Puteri seberat 25kg (agaknya, sebab dia kurus je tapi tinggi orangnya) dan diekori kakak dan adik di belakang, mencari tempat karaoke. Aku terpaksa bertanya pada orang supaya pencarian dapat dicepatkan. Tak tahan jugak mendukung Puteri ni ... Berpeluh-peluh dibuatnya.
         Selepas announcement dibuat, aku bergegas ke tempat parking, bimbang pemilik viva sampai dulu sebelum kami. Terpaksalah aku melintasi jambatan bosi sekali lagi dengan rasa cuak kerana jambatan tu bukanlah nampak macam selamat sangat. Sudahlah sambil mendukung baby besar ni ...
         Malangnya nasib kami ... sampai di kereta, viva sudah tiada dan kereta lain pula dah ambil parking tu. Block kami lagi. Kecewa sungguh rasanya, usaha tadi sia-sia saja. Kami mengintai lagi, tak ada nombor telefon pun yang ditinggalkan. 
         "Mak, ada sticker Polis Diraja Malaysia," kata Kakak.
         Peduli apa dengan sticker tu ... polis pun manusia, buat salah juga.
         Akhirnya aku mengintai kereta di sebelah kanan, yang dari mulanya aku rasa payah juga aku nak keluar kalau kereta ni dah tak ada pun. Ada nombor telefon dan nama tuannya sekali. Alhamdulillah, aku terus menelefon pemilik wira itu. Tidak lama menunggu, mereka sudah sampai. Mereka terus memandu keluar.
         Undur, ke depan, undur, ke depan, undur, ke depan ... akhirnya aku berjaya keluar. Untunglah ada reverse camera.
         Dalam perjalanan pulang kami berbincang, kenapa pemilik viva itu tidak tunggu kami dulu. Bukannya kami nak marah mereka, tetapi cuma nak pastikan ketika keluar tak ada kereta lain yang masuk dulu seperti yang berlaku tadi. 
         Kami sampai ke rumah pukul 1 pagi ... 
         Moral of the story, kalau rasa terpaksa block kereta orang, tinggal-tinggalkanlah nombor telefon supaya tindakan kita tu tak menyusahkan orang lain pulak. Kalau kita rasa kita nak senang, orang lain pun nak senang juga. Jangan menyusahkan orang kerana nak menyenangkan diri sendiri. Apa-apa pun, hati aku dah sejuk sekarang. Aku dah maafkan si pemilik viva yang aku masih simpan nombor plat keretanya dan juga pemilik Gen-2 biru muda (kalau tak silap).
        Lepas ni ... hati aku dah berat nak ke MDT lagi .. Cukuplah sekali!
    
    







TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Ahad, 18 November 2012

Alkisah Bab 23 ..

Salam sejahtera & salam tahun baharu hijrah!
Bagi sesiapa yang belum perasan, bab 23 dah dimasukkan beberapa hari lepas (dah lebih seminggu dah pun ..).

Dan jika ada yang sudah membacanya, perasan tak kesilapan dlm bab itu?

Siapa nak teka, atau dah ada yg perasan ke?
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Ahad, 22 April 2012

Hello ...

Hari ini sempat menyiapkan Bab 21 dan Bab 22. Tetapi untuk paparan, cukuplah hanya Bab 21 saja. Bab 22 masih dalam peringkat pemurnian. Insya-Allah akan dimasukkan sehari dua lagi. Selamat membaca!
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Sabtu, 14 April 2012

Menarik di Italy

Antara perkara yg menarik perhatian kat sini ialah teksinya. Teksi di sini menggunakan kereta buatan Eropah spt Mercedes Benz, Volkswagen, Chevrolet dll. Jarang nampak kereta buatan Jepun. Dan kualiti teksinya memang kelass ..pendek kata, pemandunya tidak lokek menggunakan kereta baru yg mewah (di sini businessman aje yg mampu pakai)sebagai teksi.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Selasa, 27 Mac 2012

postcard from Europe

Hai, salam semua!
Setelah sekian lama tidak update blog ni, dan rasanya ada yg bosan kerana last status sudah lebih sebulan lalu, tiada perubahan. Minta maaf! Saya skg di luar negara, berpeluang menimba pengalaman di Italy, Switzerland, London, Paris dan Amsterdam. InsyaAllah, pengalaman pahit manis di rantau akan saya kongsi dalam novel Rela Kupujuk 2 yg masih dalam pembikinan (atau mungkin juga yg ke-3!). Terima kasih kerana memberi sokongan pada saya.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

Light Purple Glitter Pointer